Sep 24, 2009

Nak Gula-Gula!

Pernahkah kamu berlutut dan menghadapkan kepala kamu kepada langit lalu mencarut kepada Tuhan kerana kamu tidak dapat apa yang kamu mahukan? Pernahkah kamu berusaha sedaya-upaya untuk mendapatkan sesuatu tetapi tidak direlakan oleh Tuhan?

Mungkin kamu pernah mengalami situasi seperti ni, tapi janganlah kamu memaki Tuhan. "Ada hikmahnya", bak kata kawan-kawan saya yang alim ni. Tetapi saya lebih minat untuk terangkan sedikit lagi tentang hikmahnya selain hanya berkata dua perkataan tadi. Saya harap kamu selepas membaca ini akan lebih tenang hati kamu.


Nak Gula-Gula!
Saya ingat lagi pada waktu saya masih budak hingusan dahulu, saya pernah mengacau mak saya untuk belikan saya sebiji gula-gula. Mak saya hanya menggelengkan kepala. Saya hanya tahu apa yang saya mahu, dan saya mahukannya sekarang juga!

Jadi, saya pun mengomel dan membuat bising kerana ibu saya tidak membelikan saya gula-gula. Waktu itu kami sedang berjalan-jalan di sebuah shopping mall. Saya menudingkan jari saya ke arah 'candy jar' yang ada kat kaunter sebuah restoran itu. Saya melompat-lompat dan hampir menangis kerana mak saya tidak mengendahkan karenah saya.

Dia terpaksa menarik saya untuk terus berjalan kerana saya mahu gula-gula itu. Nasib baik mak saya tidak melempang saya pada masa itu juga. Kalau saya sebagai seorang bapa, dah lama anak saya pengsan sebab kena penerajang.

Ibu saya menarik saya hingga ke satu tempat dan berhenti di situ. Saya cuba melihat apa yang ada depan saya. Terletak sebuah kedai gula-gula di depan mata saya.

"Pilihlah mana yang kamu suka, kalau boleh pilih yang paket ya. Bolehlah bawa balik rumah nanti," kata ibu saya.

Kamu boleh teka apa perasaan saya masa tu.

Jika kamu meneka "gembira", maka kamu salah, kerana saya merasakan saya ni bodoh.

Kalaulah saya tak membazir airmata dan suara, mungkin dah lama saya balik rumah dengan sepaket gula-gula dalam tangan saya.

Kadangkala kita tidak tahu apa yang kita mahukan. Saya mahukan sebiji gula-gula, tetapi saya lebih mahukan sepaket. Ibu saya memahami saya.

Tuhan Maha Mengetahui, Dia tahu apa yang baik dan buruk kepada ciptaanNya. Jadi, janganlah mengomel seperti saya apabila kemahuan kamu tidak diendahkan. Benda yang lebih baik mungkin dalam perjalannya.

Jika kamu telah berusaha, tidak perlu lagi takut. Kerana Tuhan tahu segalanya.

No comments: