Jul 19, 2009

Persandingan. Haram ke Halal?

Seringkali upacara persandingan yang kini dibuat oleh orang Melayu Islam ini menemui halangan dan kritikan sesetengah orang alim seperti ustaz dan ustazah. Ustazah yang mengajar saya moral di Unisel telah mengatakan persandingan adalah haram secara mentah-mentah. Pada pendapat beliau, persandingan ini sememangnya banyak mempunyai surah yang bercanggah dengannya contohnya bab hiasan inai di jari. Cuma masyarakat Melayu kini mengikut norma masyarakat dan tidak pernah berfikir dan mengkaji tentang ini. Baiklah, walaupun saya ni bukan seorang Melayu apatah lagi muslim, tapi saya mahu mencoret sedikit kata mengenai persandingan dengan bantuan surah dan pendapat orang lain.



Adat atau Agama?
Persandingan itu adalah upacara yang masih keliru lagi pengasasnya. Ada teori yang mengatakan upacara persandingan ini datang dari budaya raja-raja Melayu yang dahulu dengan bukti istilah 'raja sehari'. Ini merupakan pendapat H.M. Sidin dalam kajian Adat Resam Melayu. Rata-rata website yang memplagiat (copy paste) idea ini, padahal sumber sebenar saya tidak dapat jumpai. Teori kedua pula mengatakan bahawa ini datang dari budaya india, atau lebih spesifiknya berasal dari agama Hindu (De Jong, Religions in the Malay Archipelago). Saya ingin menyoal anda yang Melayu ini, jikalau budaya persandingan ini masih diragui samada datang dari budaya atau agama, tidakkah kamu meragui benda yang kamu buat ni? Jika anda sememangnya meragui, halal lagi ke benda yang kamu buat ni?



Kritikan Terhadap Upacara Persandingan
Saya ni sebenarnya tidak pernah bersanding, jadi saya hanya bersumberkan prosedur persandingan melalui orang Melayu yang pernah bersanding sahaja. Saya difahamkan bahawa antara prosedur persandingan adalah pembacaan jampi mantera oleh bomoh (bukan doa, tapi jampi). Komen saya terhadap ini: "Secara logiknya, biasanya majlis akan dimulai dengan bacaan doa, betulkah persandingan ni ada bomoh main baca jampi?"

Selain itu, ada juga prosedur menabur beras kunyit. Mengikut origin prosedur ini, beras kunyit ditabur untuk memuja semangat padi agar menghalau semangat jahat. Wow, sudah obvious ini syirik. Baca surah ini: "Yunus: 107". Kawan saya yang seorang ni pernah berdebat dengan saya tentang ini. Katanya: "Ala, ustaz aku pun ada gak buat macam tu. (Menaikkan kening seolah memberitahu saya "ko tau apa? Ustaz aku pun buat macam ni!")" Saya tidak mendapat jawapan yang clear dari penyataannya, jadi kemudian setelah saya bertanya pendapat orang lain, mereka berkata niat untuk berbuat itu adalah lain. Mereka kini menabur beras dengan tujuan simbolik untuk mencerminkan "adat" mereka (masih tidak terjawab lagi samada persandingan itu adat atau agama). Pendapat saya tentang ini adalah: "Muslim digalakkan untuk mengetahui segala benda yang dibuat mereka, agar tidak tertipu dengan helah-helah orang kafir. Saya rasa pernyataan ini sudah menjelaskan segalanya. Tetapi tolonglah berikan pendapat anda."



Main Dengan Tatu
Satu-satunya benda yang paling saya ingat mengenai persandingan adalah tatu mereka yang disapu ke atas tangan pengantin perempuan. Menurut hadis HR Muslim-Muslim dari Abdullah Ibn Mas'ud, "Tuhan melaknat wanita yang menaruh warna dan mencucuk tangan, menghilangkan kening dan mengikir gigi kerana mengubah kejadianNya". Ini bukan lagi setakat bercerita tentang sembahyang tidak diterima, malah jika para wanita memakai tatu-tatu sebegini akan berdosa sekiranya dilihat orang lain.

Dengar cerita seorang ustazah jika tatu itu berbentuk 'pelik-pelik', maka ia adalah haram. Tetapi jika ia berbentuk organik dan tumbuhan, ia boleh dilakukan. Beliau tidak menyatakan dari mana datangnya sumber itu, jadi saya perlukan penjelasan.

Berhias untuk dipamerkan atau dikenali sebagai tabarruj, disifatkan sebagai pengulangan semula perbuatan Zaman Jahiliah (Al-Ahzab: 33). Jelaskan kalau boleh.



Amalan Boros
Biasanya saya tengok bila 'superstar Melayu' bersanding, bapa saya pun boleh pergi makan free. Saya tahu lah dia kaya. Suara sedap, 'penganut' ramai. Tapi mereka ni sebagai muslim perlu tahu, bahawa 'Islam mencela amalan yang boros' (hasil plagiat) yang boleh dijumpai dalam surah (al-Isra': 26).

Kenduri kahwin ini adalah sunat dan tidak wajib, tetapi walaupun diadakan, hanya sahabat dan saudara terdekat sahaja yang perlu dijemput. Mengikut sabda Nabi Muhammad: " "Adakanlah kenduri kahwin walaupun hanya dengan seekor kambing."



Mas Kahwin Dan Material
Hadiah dan mas kahwin dijadikan sebagai satu kemestian, walaupun kamu bagi mas kahwin sikit pun, kamu tetap kena cakap belakang. Tidak apa, itu persepsi, bukan budaya.

Ayat ni saya suka :"Wanita yang paling berkat ialah wanita yang paling murah hantarannya." (HR Ahmad, al-Hakim dan Baihaqi)



Akhir kata
Saya perlukan pendapat anda kerana bab persandingan sememangnya bukan bidang saya, yang saya boleh bagi hanyalah pendapat. Ini kerana saya tidak banyak menjumpai sumber lain selain dari artikel Tuan Hassan Tuan Lah, "Bersanding dalam Pandangan Islam". Yang blogger lain pula sibuk copy paste artikel itu tanpa pendapat mereka sendiri. Macam mana nak selesai masalah? Diharap kamu sebagai pembaca dapat menyumbangkan saya fakta dan pendapat kamu terhadap topik ini.

Jul 16, 2009

Freethinker. Jahat Sangat Ke?

Seringkali saya melihat freethinker dicaci dan dimaki oleh orang yang kuat agama. Setahu saya, freethinker ini adalah orang yang menerima semua ajaran agama dan mengkaji agama tanpa prejudis atau kepentingan diri. Bagi orang yang kuat agama pula, freethinker ini adalah orang yang suka menyekutukan Tuhan dari semua agama. Saya ingin bertanya kepada sang kuat agama ini, "mana lagi kamu suka, orang yang menerima semua agama ataupun orang yang menerima agama sendiri sahaja dan tidak menerima agama lain?" Di sini lah terserlahnya prejudis dan kejulingan sang agama ini. Saya ingin menekankan bahawa ajaran Hindu dan Buddha tentang kitaran karma ini bukanlah sekadar cakap kosong sahaja. Kalau kamu tidak menerima pandangan orang lain, mereka pun tidak akan terima pandangan kamu.

Betulkah freethinker ini betul betul jahat? Bagi saya, seorang freethinker ini boleh menyambut Hari Krismas dan pada masa yang sama membuat senaman Yoga. Saya tidak berani menggelar diri saya sebagai seorang freethinker kerana saya ini tidak suka melabel orang 'believer' atau 'non-believer'. Saya juga pernah disakat oleh kawan-kawan saya yang agak kuat agama ini dengan mengatakan bahawa freethinker ini fikirannya tidak betul. Adakah mereka ini bebal atau apa? Saya ini penganut agama Buddha, dan Buddha sering mengajar penganutnya untuk menghormati dan menerima agama orang lain, apa yang pentingnya, setiap agama mengajarkan kebaikan kepada penganutnya. Dengan melawan agama lain, kita juga sedang melawan ajaran agama sendiri iaitu iaitu moral dan kebaikan. Freethinking ini boleh dikatakan sebagai satu ajaran daripada Hindu dan Buddha. Adakah mereka ini sedar yang mereka sedang menghina agama saya?

Saya juga yakin bahawa freethinker ini lebih baik daripada seorang yang degil dan suka memburukkan agama yang bukan dianutinya. Saya sudah bertemu golongan yang suka memburukkan agama orang lain ini, mereka gemar mencari ayat ayat dalam sesebuah kitab dan mentafsirkannya ikut suka sendiri. Ayat yang baik juga boleh ditukarkan menjadikannya buruk mengikut pilih kasih pembacanya. Ada orang pernah mengatakan bahawa freethinker ini merupakan orang yang menghadam semua benda yang dimakannya tanpa mengetahui apakah itu. Maksudnya begini, freethinker ini biasanya telan saja semua sampah yang disalurkan oleh agama yang palsu tanpa mengetahui agama mana satu yang benar dan suci dan murni dan sebagainya. Apa kata saya mengatakan bahawa freethinker ini adalah seorang hakim yang menilai dan menghayati semua kebaikan yang diajarkan oleh semua agama dengan adil dan memerhatikan moraliti penganutnya? Tidakkah ini lebih tepat?

Saya ini seorang manusia yang bukan senang tersinggung, tetapi jika saya ini seorang yang panas baran memang sudah berperang dah saya! Seorang pengkritik blog (saya tidak mahu menyatakan agama apa yang dia anuti) saya pernah berkata bahawa dia perlu buat sesuatu untuk menyedarkan saya tentang kebenaran agama *** agar saya dapat meneruskan 'hidup' saya. Dia meletakkan apostrophe kat ayat 'hidup', apakah maksudnya? Adakah hidup saya ini hidup seekor binatang kerana saya tidak menganuti agama mereka? Dan saya sememangnya benci manusia yang mengatakan bahawa menganuti agama mereka adalah cara hidup yang bermakna manakala agama lain itu sampah. Percaya atau tidak, hidup tanpa rasa ketakutan dan kebencian adalah cara hidup yang PALING baik. Hidup tanpa menyibukkan diri mencari kesalahan agama yang lain adalah jalan hidup yang paling sempurna dan aman damai.

Media ni memang alat yang paling sesuai menyebarkan propaganda, sebab itulah kamu senang percaya yang freethinker ini jahat dan menyesatkan. Tu lah, baca banyak sangat Mastika tanpa mengetahui masalah sebenar yang sedang melanda dunia. Jangan cuba nak berhujah, "ala, dunia dah nak kiamat dah, apa boleh buat!". Itu adalah tindakan yang malas dan alpa. Sedarkah kamu, orang seperti ini lah punca pengakhiran zaman? Pernah ke kamu dengar ada berita tentang seorang freethinker membuat genocide? Genocide ini biasanya dilakukan oleh pemimpin negara yang taksub agama sahaja. Cuba belajar sejarah. Pernah ke kamu dengar tentang seorang pemimpin yang menerima semua ajaran agama ini menghantar askar ke negara lain tanpa alasan yang kukuh? Aduh, sedarlah kawan-kawanku, masalah yang remeh tak perlu diheboh, baik fokus kat masalah yang lebih besar. Freethinking ini walaupun ada bercanggah dengan sesetengah agama, tapi ia tak seteruk kejadian pengganas yang ada di mana mana sahaja negara, janganlah jadi bodoh!



P.S: Agama yang mengajar kebaikan tapi tak diamalkan kebanyakan penganutnya memang saya takkan layan dakwah mereka.